JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 3 Pakej 1 di Sungai Muar, Mukim Pogoh mencatatkan kemajuan fizikal yang amat memberangsangkan apabila mendahului jadual asal sebanyak 157 hari.
Ahli Parlimen Sekijang Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata projek berkenaan kini telah mencapai status kemajuan 38.84 peratus berbanding jadual asal yang ditetapkan iaitu pada kadar 19.98 peratus.
Beliau berkata perkembangan positif ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keselamatan rakyat serta mengurangkan risiko banjir di Johor secara holistik.
"Susulan banjir besar yang melanda Johor pada Mac 2023, Kerajaan Persekutuan telah menyegerakan pelaksanaan projek RTB bernilai lebih RM600 juta di negeri ini bagi menghadapi ancaman banjir dan fenomena perubahan cuaca.
"Semua projek ini dipantau secara rapi bagi memastikan ia dilaksanakan dengan telus, amanah dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat," katanya dalam kenyataan selepas meninjau perkembangan projek berkenaan di Mukim Pogoh, Sekijang baru-baru ini.
Mengenai agenda tebatan banjir negara, Dr Zaliha berkata menerusi Belanjawan 2026, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM2.9 bilion khusus untuk 43 projek RTB berkeutamaan tinggi di seluruh negara.
Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) berkata peruntukan besar tersebut turut merangkumi projek baharu iaitu RTB Sungai Chaah di Segamat, yang dijangka memberi impak signifikan dalam melindungi penduduk di Parlimen Sekijang dan kawasan sekitarnya.
-- BERNAMA