KUALA LUMPUR: Daripada sebuah syarikat agrikultur yang beroperasi secara kendiri, Afdal Rezeki kini berada pada landasan pertumbuhan yang lebih tersusun dan mampan hasil sokongan strategik daripada TERAJU, selari dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ketua Pegawai Eksekutif Afdal Rezeki, Adib Razak berkata sebelum menerima bimbingan TERAJU, syarikat banyak bergantung kepada kaedah cuba jaya dalam membuat keputusan perniagaan, yang secara tidak langsung meningkatkan risiko kerugian.
“Dahulunya kami bergerak sendiri, buat keputusan berdasarkan percubaan. Setiap langkah ada untung dan rugi, tetapi kerugian itu kita mahu kurangkan dan keuntungan kita mahu tingkatkan,” katanya.
Menurut Adib, penglibatan TERAJU membuka ruang kepada Afdal Rezeki untuk berhubung secara langsung dengan mentor serta pemain industri berpengalaman, sekali gus membolehkan syarikat menerima pandangan baharu dan lebih strategik dalam mengurus perniagaan.
“Apabila bertemu dengan pemain industri yang berpengalaman, mereka membimbing kami dan memberi idea-idea baharu. Ia membantu kami melihat industri dengan lebih jelas dan tersusun,” tambahnya.
Selain aspek rangkaian industri, Afdal Rezeki turut menerima bimbingan dalam memperkukuh struktur dalaman syarikat ke arah nilai korporat yang lebih profesional, termasuk tadbir urus, perancangan jangka panjang dan kebolehan untuk berkembang secara berskala.
“Kami tak boleh lagi bertindak secara konvensional. Syarikat perlu bergerak ke arah menjaga kelangsungan jangka panjang dan skalabiliti,” jelas Adib dalam program PuTERA35 terbitan Astro AWANI.
Beliau turut menekankan bahawa sokongan dalam aspek pembinaan dan perancangan aset membantu mempercepatkan proses pengembangan syarikat tanpa terlalu bergantung kepada keuntungan semasa, sekali gus mengurangkan risiko kerugian.
Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Strategik TERAJU, Nik Nazree Nik Abdul Rahman menjelaskan bahawa pendekatan TERAJU bukan hanya tertumpu kepada pembiayaan, sebaliknya memberi penekanan kepada pemudahcaraan menyeluruh termasuk khidmat rundingan, nasihat strategik, dan akses kepada rangkaian industri.
“Pendanaan memang penting, tetapi ia perlu digarap bersama pemudahcaraan. Ada syarikat yang tidak memerlukan dana besar, sebaliknya hanya perlukan akses kepada rangkaian dan pengalaman industri,” katanya.
Beliau berkata, menerusi Pelan Perniagaan TERAJU 2024 hingga 2035, agensi itu memberi fokus kepada dua program utama pemudahcaraan iaitu Program Depositori Korporat Bumiputera serta Program Khidmat Rundingan dan Nasihat, bagi memastikan syarikat Bumiputera menerima sokongan mengikut keperluan sebenar mereka.
“Kadang-kadang perbincangan ringkas atau coffee talk bersama individu berpengalaman sudah cukup untuk membuka peluang baharu kepada sesebuah syarikat,” katanya lagi.
Kejayaan Afdal Rezeki mencerminkan pendekatan baharu pembangunan usahawan Bumiputera di bawah PuTERA35, yang menekankan pembinaan ekosistem perniagaan, pengurangan risiko serta peningkatan daya saing ke peringkat lebih tinggi dan mampan.