Skip to main content

Dunia

AS pamer kemampuan tenaga nuklear mudah alih melalui penghantaran udara

U.S. Energy Secretary Chris Wright and U.S. Under Secretary of Defense for Acquisition and Sustainment Michael Duffey on board a C-17 cargo plane that transported Valar Atomics' Ward nuclear microreactor from March Air Force Base in California to Hill Air Force Base in Utah, at the Hill Air Force Base in Utah, U.S., February 15, 2026. REUTERS/Valerie Volcovici
DOE dan DOD bekerjasama dengan syarikat California, Valar Atomics, bagi membawa model reaktor Ward — tanpa bahan api nuklear — dari March Air Force Base ke Hill Air Force Base. -Foto Reuters

HILL AIR FORCE BASE: Amerika Syarikat (AS) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya sebuah reaktor mikro nuklear berjaya dihantar melalui udara menggunakan pesawat kargo ketenteraan C‑17 dari California ke Utah dalam demonstrasi yang dianjurkan bagi mempamerkan kemampuan teknologi tenaga nuklear mudah alih untuk kegunaan ketenteraan dan awam.

Dalam misi yang dilaksanakan pada Ahad, Jabatan Tenaga (DOE) dan Jabatan Pertahanan (DOD) bekerjasama dengan syarikat California, Valar Atomics, bagi membawa model reaktor Ward — tanpa bahan api nuklear — dari March Air Force Base ke Hill Air Force Base.

Penghantaran itu turut disertai Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, serta Under Secretary of Defense for Acquisition and Sustainment, Michael Duffey, yang menyifatkannya sebagai detik penting dalam keupayaan logistik tenaga pertahanan negara.

Duffey menegaskan bahawa demonstrasi ini memaparkan kemampuan AS untuk menghampiri era di mana tenaga nuklear boleh ditempatkan “apabila dan di mana ia diperlukan” bagi menyokong operasi taktikal ketenteraan di lokasi sukar.

Katanya, teknologi sedemikian bakal mengubah cara tenaga dibekalkan kepada anggota di medan operasi.

Penghantaran udara ini juga seiring dasar pentadbiran Presiden Donald Trump, yang sebelum ini mengeluarkan beberapa perintah eksekutif untuk mempercepat pembangunan reaktor modular kecil dan teknologi nuklear canggih.

Pada Disember lalu, DOE turut memperuntukkan dua geran bagi mempercepat pembangunan reaktor kecil generasi baharu.

Penyokong teknologi mikroreaktor percaya bahawa sistem ini sesuai untuk penempatan terpencil, tidak memerlukan penghantaran bahan api berterusan seperti generator diesel.

Namun, pengkritik berpendapat kos operasi mikroreaktor masih belum terbukti kompetitif, dengan pakar keselamatan nuklear, Edwin Lyman, menyatakan kosnya dijangka lebih tinggi berbanding reaktor besar atau tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar.

Menurut DOE, tiga mikroreaktor dijangka mencapai tahap “kritis” — iaitu keadaan di mana tindak balas nuklear mampu mengekalkan diri secara autonomi — menjelang 4 Julai tahun ini, sebagai sebahagian daripada ujian lanjutan bagi menilai potensi kegunaan teknologi itu dalam operasi sebenar.

Misi penghantaran udara ini juga penting dalam usaha jangka panjang kerajaan AS untuk membangunkan sistem tenaga yang lebih tahan gangguan serta sesuai digunakan dalam operasi ketenteraan di lokasi terpencil.

Analisis pertahanan menyatakan bahawa kejayaan penghantaran menggunakan pesawat kargo memberi gambaran awal bagaimana mikroreaktor mudah alih boleh menyokong operasi berterusan di kawasan yang sukar dicapai melalui logistik tradisional.

Must Watch Video