Skip to main content

Malaysia

Dua wanita cedera MPV dihempap pokok tumbang

MPV POKOK TUMBANG [IPD SHAH ALAM]
Kenderaan jenis MPV yang dinaiki oleh dua wanita dihempap pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7.

SHAH ALAM: Dua wanita cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini, pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 12.11 tengah hari

"Seramai 12 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh empat kilometer," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Mukhlis berkata, setibanya pihak bomba di lokasi lima minit kemudian, komander operasi melaporkan dua mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan Mitsubishi Xpander.

"Kerja-kerja menyelamat giat dijalankan bagi mengeluarkan mereka.

"Mangsa dikenali sebagai Nur Shahidah Abdul Aziz, 39, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala, manakala Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera di bahagian pinggang," ujarnya.

Difahamkan kedua-dua mereka yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam, berada dalam keadaan sedar dan sedang menerima rawatan di Zon Kritikal, Hospital Shah Alam.
 

 

Must Watch Video