KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju terhadap cadangan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki direhatkan daripada tugas untuk seketika.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid berpendapat, ia bagi memberi ruang kepada siasatan terhadap segala tuduhan yang berbangkit terhadap Azam dilaksanakan secara bebas, telus dan menyeluruh.
Danial yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, berkata pendirian Pemuda Amanah bukan bersifat peribadi tetapi atas keperluan mempertahankan integriti institusi penguatkuasaan negara.
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebarang kontroversi yang menimbulkan persoalan awam wajar ditangani dengan langkah profesional dan berhemah bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Tegasnya lagi, cadangan untuk direhatkan adalah satu langkah pentadbiran yang matang bukan satu bentuk hukuman dan ruang untuk memastikan proses siasatan berjalan tanpa campur tangan mana-mana pihak serta memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi antirasuah negara.
“Prinsip ‘innocent until proven guilty’ tetap dihormati. Namun dalam masa yang sama, integriti dan kredibiliti institusi mestilah diutamakan,” ujarnya lagi.
Semalam, Azam menegaskan menolak sebarang desakan untuk mengambil cuti semasa proses siasatan sedang berjalan.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan memberi cadangan agar Azam mengambil cuti susulan siasatan terhadap pendedahan agensi media Bloomberg pada minggu lalu yang mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat bernilai RM800,000.
Namun Azam menegaskan beliau telah menjual keseluruhan saham yang dimilikinya pada Julai tahun lalu dan telah membuat pengisytiharan harta melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Azam turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg sekiranya syarikat media antarabangsa itu gagal menjawab surat tuntutan (LOD) yang dihantarnya dalam tempoh 14 hari.
Pada 13 Feb, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengesahkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam akan ditubuhkan.
Ia turut dianggotai oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.