Skip to main content

Malaysia

Pusat tuisyen PTTI catat rekod baharu kali ketiga, 534 pelajar raih Straight A's SPM

PTTI MBOR_NEW TB
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan PTTI sebagai antara peneraju pendidikan digital di Malaysia yang memberi impak kepada ratusan ribu pelajar di seluruh negara. - Gambar PTTI

PUTRAJAYA: Pusat tuisyen PTTI terus mencipta pencapaian luar biasa dalam pendidikan negara apabila melahirkan 534 pelajar memperoleh semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus mencatat rekod baharu Malaysia Book of Records buat kali ketiga.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan PTTI sebagai antara peneraju pendidikan digital di Malaysia yang memberi impak kepada ratusan ribu pelajar di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, kejayaan itu mencerminkan kekuatan sistem pembelajaran yang dibangunkan secara berstruktur dan konsisten.

Menurutnya, pendekatan PTTI bukan sekadar menekankan hafalan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembelajaran berperingkat serta formula yang telah terbukti berkesan dalam melahirkan pelajar cemerlang.

“Pencapaian kali ketiga dalam Malaysia Book of Records membuktikan bahawa PTTI memiliki satu sistem yang mantap dalam melahirkan pelajar cemerlang.

“Sistem yang dibangunkan ini bukan berasaskan hafalan semata-mata, sebaliknya menggunakan pendekatan pembelajaran secara berperingkat serta formula yang telah terbukti keberkesanannya dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sejak lebih sedekad penubuhan, PTTI sentiasa memberi penekanan kepada peningkatan prestasi pelajar melalui pengukuhan sistem serta latihan berterusan.

Tambahnya, usaha memperluas latihan guru dan kapasiti sistem akan terus dipertingkatkan bagi mencapai sasaran melahirkan 1,000 pelajar semua A pada tahun seterusnya.

Sementara itu, Pengarah PTTI, Asyraf Khalid berkata, pencapaian 534 pelajar Straight A's bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil gabungan sistem yang mantap, tenaga pengajar berdedikasi dan pelajar yang berusaha tanpa mengenal putus asa.

“534 Straight A's bukan kebetulan, ini adalah hasil sistem yang betul, guru yang sabar, dan pelajar yang tidak menyerah. Bukan berapa ramai yang masuk. Berapa ramai yang berjaya. Itulah ukuran sebenar kejayaan sebuah institusi pendidikan,” ujarnya.

Beliau menambah, sasaran seterusnya adalah untuk melahirkan 1,000 pelajar Straight A's, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan digital berkualiti mampu menjangkau lebih ramai pelajar tanpa mengira lokasi.

Image
PTTI MBOR_INSERT
Penyanyi dan Ikon PTTI, Alyssa Dezek  turut menerima insentif sebanyak RM500 atas keputusan cemerlang memperoleh semua A dalam SPM. - Gambar PTTI

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti jelas transformasi pendidikan digital yang semakin signifikan di negara ini.

“Pada tahun 2018, PTTI mengambil satu langkah berisiko besar dengan meneroka tuisyen atas talian ketika pendekatan ini masih belum meluas.

“Namun keberanian itu membuahkan hasil apabila PTTI kini menjadi antara pusat tuisyen dalam talian paling berjaya, berkesan dan terbesar di Malaysia, yang memberi impak kepada lebih 150,000 pelajar secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan digital tersebut membuka peluang kepada pelajar termasuk di kawasan luar bandar untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang lebih mampu milik.

Tambahnya, model pembelajaran berkenaan turut membuktikan bahawa akses kepada guru berkualiti tidak lagi terhad kepada lokasi fizikal, sekali gus membantu merapatkan jurang pendidikan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Pertumbuhan (CGO) PTTI, Race Monsopiad atau lebih dikenali sebagai Sir Race berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan seluruh pasukan dalam menambah baik sistem, kandungan dan sokongan kepada pelajar.

“Pertumbuhan daripada 401 kepada 534 pelajar Straight A's dalam tempoh setahun bukan berlaku secara rawak. Ia hasil daripada penambahbaikan berterusan dalam sistem, kandungan, dan sokongan yang kami berikan kepada setiap pelajar,” katanya.

Jelasnya, PTTI akan terus memperluaskan kapasiti serta inovasi platform bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan pendidikan digital berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, keberkesanan pendekatan PTTI turut disokong oleh pengalaman ibu bapa yang melihat sendiri impak pembelajaran fleksibel terhadap anak mereka.

Seorang waris pelajar, Hayatinaz Sabri berkata, kemudahan rakaman pembelajaran menjadi antara faktor utama yang membantu anaknya mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.

“Perbezaan utama terletak pada cara penyampaian dan penerangan yang jelas, selain adanya rakaman pembelajaran yang sangat membantu anak saya.

“Melalui rakaman ini, anak saya boleh mengulang kaji pada bila-bila masa sehingga menduduki peperiksaan, dan ini amat membantu memandangkan keadaannya yang tidak mampu untuk belajar dalam tempoh yang lama secara berterusan,” jelasnya.

Image
PTTI MBOR_INSERT
Pelajar PTTI, Hanif Zakwan Mohd Abd Raman Zaid juga menerima insentif sebanyak RM500 atas keputusan cemerlangnya memperoleh semua A meskipun mempunyai kekurangan berbanding pelajar lain. - Gambar PTTI

Katanya, pendekatan tersebut amat sesuai khususnya bagi pelajar yang memerlukan kaedah pembelajaran lebih fleksibel mengikut kemampuan masing-masing.

Terdahulu, lebih 4,000 murid dan ibu bapa hadir ke Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 di Putrajaya bagi meraikan pencapaian tersebut.

Majlis itu disempurnakan oleh Syed Saddiq sebagai perasmi sesi pagi, manakala sesi petang dirasmikan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang turut menyampaikan ucapan inspirasi kepada pelajar dan ibu bapa yang hadir.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti tanah air termasuk Datuk Wira Azizan Osman, Datuk M. Nasir, Datuk AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Hael Husaini, Bella Astillah dan Zaki Yamani, selain beberapa personaliti berpengaruh negara.

Sepanjang 2025, PTTI merekodkan lebih 31,987 gred A dan membantu lebih 158,000 pelajar menerusi program seminar di seluruh negara.

Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan potensi platform digital dalam mentransformasikan landskap pendidikan negara, selain memperluas akses pembelajaran berkualiti kepada lebih ramai pelajar.

Image
PTTI MBOR_TB
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan PTTI sebagai antara peneraju pendidikan digital di Malaysia yang memberi impak kepada ratusan ribu pelajar di seluruh negara. - Gambar PTTI

Must Watch Video