GEORGE TOWN: Transaksi secara nirtunai atau tanpa tunai di Pulau Pinang menunjukkan pencapaian amat memberangsangkan iaitu mencecah 97.92 peratus pada tahun lepas, sekali gus meletakkan negeri itu antara yang mencatatkan kadar penggunaan transaksi digital tertinggi di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata ia hasil inisiatif pendigitalan kerajaan negeri yang memperluas penggunaan pembayaran nirtunai merangkumi perkhidmatan seperti bayaran cukai, kompaun, lesen perniagaan serta pelbagai urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
“Pencapaian ini jelas mencerminkan tahap keyakinan serta penerimaan rakyat yang tinggi terhadap sistem pembayaran digital dan satu langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi negeri nirtunai sepenuhnya menjelang 2030.
“Aspirasi tersebut bukan sahaja melambangkan kemajuan teknologi, malah mencerminkan keupayaan negeri dalam menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi digital global yang semakin pesat berkembang,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Tranformasi Nirtunai Sektor Awam Pulau Pinang 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama strategik turut diperkukuh dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan transaksi digital.
H'ng berkata dalam masa yang sama, kerajaan negeri sentiasa peka dan komited dalam menangani cabaran semasa seperti isu keselamatan siber, ancaman penipuan dalam talian, serta memastikan keterangkuman digital agar tiada golongan masyarakat yang tercicir.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa giat memperkukuh keselamatan sistem, meningkatkan literasi digital rakyat dan memastikan pelaksanaan pendigitalan yang inklusif serta menyeluruh.
“Hari ini kita meraikan kejayaan 24 jabatan dan agensi yang telah menunjukkan komitmen amat tinggi dalam menjayakan kempen nirtunai di Pulau Pinang.
“Usaha dan dedikasi semua dalam melaksanakan sistem pembayaran digital telah menyumbang secara langsung kepada peningkatan kecekapan kutipan hasil kerajaan, mengurangkan kebergantungan kepada transaksi fizikal, serta mempercepat proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA