PUTRAJAYA: Proses penelitian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas, merupakan sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pendekatan itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam amalan Parlimen Malaysia.
“Rang Undang-Undang pernah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dipengerusikan Menteri melalui usul Dewan, antaranya penelitian pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 20 Julai 2004 dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Mohd Radzi Sheikh Ahmad serta penelitian Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti pada 11 April 2022 dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Pendekatan yang sama juga digunakan bagi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan pada 2 Ogos 2022 oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin,” menurut kenyataan itu.
BHEUU memaklumkan kerajaan pada masa yang sama kekal tertakluk kepada prinsip akauntabiliti Parlimen sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Jemaah Menteri bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen.
Selasa lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
Ia bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU tersebut.
BHEUU memaklumkan cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga telah melalui proses kajian empirikal sebagai asas serta perbincangan inklusif yang melibatkan Ahli Parlimen merentasi parti.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara bersama BHEUU telah membentangkan agenda reformasi institusi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 26 Feb lepas serta kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang pada 2 Mac lalu.
“Langkah ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang bertanggungjawab untuk memastikan reformasi institusi yang dicadangkan ini diteliti secara mendalam, inklusif dan berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Melalui mekanisme ini, pelbagai pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen, pakar perundangan, ahli akademik dan masyarakat sivil juga dijangka dijemput untuk memberikan pandangan bagi memperkukuh Rang Undang-Undang tersebut,” menurut kenyataan itu.
BHEUU memaklumkan Kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan reformasi institusi secara berperingkat dan berprinsip berteraskan Perlembagaan demi memperkukuh kedaulatan undang-undang serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Semalam, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata proses menambah baik RUU berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa RUU itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang bermula 16 Mac ini.
-- BERNAMA