Skip to main content

Politik

PRN, PRU: PH bertanding semua kawasan, tidak teragak-agak bubar awal - Anwar

SINAR HARIAN
Anwar Ibrahim ketika hadir pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor.

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di semua kawasan sama ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mahu pun Pilihan Raya Umum (PRU).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya pertempuran yang dipilih, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.

“Kita tengah dikejutkan dengan keputusan BN-UMNO yang mahu bertanding semua kawasan (DUN) di Johor, saya tidak terkejut kerana kita dah pantau. Itu keputusan mereka.

“Sementara ini, kepimpinan pusat masih baik dan harmoni. Tetapi, kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, hari ini PH ambil keputusan menjawab dengan tegas, PH akan bertanding di semua kawasan.

“Di Negeri Sembilan, kita bertanding semua. Selangor, Pulau Pinang, Pahang, kita bertanding semua. Tetapi, saya sebut ini kalau mereka yang mula melanggar, kita tegas, kalau runding baik, kita orang baik dan sabar serta bijak, kita mahu selamatkan negara ini sebab kita amalkan politik stabil.

“Johor dan Negeri Sembilan, kita lawan semua. Johor sedia? Negeri Sembilan sedia? Lawan tetap lawan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan masih ada ruang perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH bukan sahaja di negeri ini, tetapi kalau ginilah cara kita diperkotak-katikkan (hubungan), mungkin PRU seluruh negara diadakan.

“Keputusan tarikh itu Perdana Menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama, harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” jelasnya.

Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang. - Sinar Harian

 

 

 

Must Watch Video