MACHANG: Seorang usahawan, Wan Azwa Wan Ismail tidak menyangka 5,000 biji Melon Manis Machang (3M) yang diusahakannya sejak dua bulan lalu, habis terjual dalam tempoh tidak sampai 48 jam.
Semuanya kerana idea dan konsep "Pick and Pay" yang diperkenalkannya untuk buah berkenaan di ladangnya seluas 2.5 ekar di Kampung Gelong Gajah, Machang, Kelantan.
"Sebelum ini, yang terkenal, kita ada konsep "Pick and Pay" buah strawberi seperti yang terdapat di Cameron Highlands, tetapi kini buah melon atau 3M ini kita perkenalkan juga di Machang.
"Kita sama sekali tidak menyangka, sambutannya begitu baik dan di luar jangkaan. Sebanyak 5,000 pokok 3M yang saya tanam bulan Mac 2026, di mana hasil tuaiannya yang pertama pada Khamis lalu, habis pada Sabtu," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Menurut Wan Azwa, konsep yang diperkenalkannya itu bukan sahaja memberi pulangan yang lumayan kepadanya sebagai usahawan tetapi juga menjadi platform berkesan mempopularkan 3M sebagai produk premium kepada peminat buah melon untuk pasaran di luar Kelantan.
Beliau berkata, selepas buah 3M yang diusahakannya habis dipetik dan dijual melalui konsep "Pick and Pay" itu, beliau akan menanamnya semula untuk tuaian seterusnya, dijangka dalam dua bulan lagi.
"Sebelum ini, saya jual 3M ini di Pasar Tani dan Pasar Pagi di Machang, tetapi jualannya agak terbatas dan ia juga mengambil masa yang lama untuk buah bertukar tangan dan dibeli peminat buah.
"Tetapi dengan konsep "Pick and Pay", mereka yang datang ke ladang terbuka ini boleh merasa sendiri pengalaman cara memilih buah melon yang masak, berat dan berapa biji yang dimahukan sebelum menimbang dan membayarnya di kaunter," katanya sambil menambah pengalaman itu tidak pernah dialaminya semasa membuat jualan di Pasar Tani dan Pasar Pagi di Machang.
Graduan bidang Sains Komputer dari universiti di Amerika Syarikat ini menambah, semasa pelanggan memetik buah, mereka turut diberi penerangan penting sebelum ke kaunter untuk timbang dan bayar.
"Mereka diterangkan mengenai sifat buah sama ada sudah masak atau sebaliknya. Mereka juga dimaklumkan bagaimana untuk memastikan sama ada buah boleh dipetik atau tidak.
"Ini penting, kerana saya berpandangan, mungkin mereka yang singgah tidak meminati buah melon, tetapi kerana sukakan "vibe" petik dan bayar, mereka tidak berkira tentang harga, itu psikologinya'' kata beliau.
Wan Azwa berkata, 3M dijual dengan harga RM10 sekilogram dan kebiasaannya buah yang sudah tersedia dipetik seberat 1hingga 1.3 kilogram.
Kelainan 3M berbanding buah melon lain, katanya, ia lebih manis, ranggup dan berjus.
Katanya, ladang 3M yang diusahakannya bersama isteri, Rohaizan Hassan serta anak menggunakan sistem fertigasi berteknologi tinggi,
Sementara itu, Wan Azwa mengakui, promosi di media sosial juga banyak membantunya untuk melariskan 3M sehingga selepas buah habis terjual sekali pun, masih ada yang berhenti di ladangnya untuk pengalaman "Pick and Pay".
"Asalnya, apa yang saya hebahkan ialah membuat jualan sehingga habis buah, di mana saya anggarkan lebih seminggu jualan akan berlangsung.
"Mungkin kerana kesan promosi di media sosial, jadi begitu banyak bas dan kereta berhenti untuk membawa keluarga dan rombongan ke ladang 3M, dan buah berkenaan cepat habis terjual.
"Mereka yang di luar Machang juga datang tidak putus-putus ke sini semasa jualan Pick and Pay itu," tambah beliau.
Sementara itu, beliau memaklumkan, 3M juga akan turut sama terlibat dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September di Serdang, Selangor.
"Saya melihat MAHA 2026 sebagai peluang dan langkah awal daripada begitu banyak langkah untuk 3M menapak serta menjadi popular. Lebih dari itu, saya menjangkakan ia langkah penting ke arah memperkukuh agenda pertanian moden Negeri Kelantan," ujar beliau.