KUALA LUMPUR: Ronnie Liu Tian Khiew bermuhasabah selepas melawat Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor, Shah Alam, hari ini.
Beliau yang juga bekas exco negeri melakukan kunjungan tersebut atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam agar beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki melawat plak tersebut untuk menghayati Rukun Negara.
“Ketika membaca semula Rukun Negara, saya benar-benar tersentuh dan berasa amat mendalam di dalam hati,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya hari ini.
Menurut Ronnie, nilai sebenar Rukun Negara bukan sekadar terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat yang dibawanya.
Tambahnya, ketika politik semakin dipenuhi emosi dan masyarakat semakin mudah terjebak dalam polarisasi ekstrem, kepentingan sebenar Rukun Negara dapat dilihat melalui nilai dan kebijaksanaannya.
“Membaca semula Rukun Negara hari ini juga membuatkan saya kembali bermuhasabah: Adakah masa depan negara ini mahu terus dibina atas kebencian, ekstremisme dan pertarungan politik yang tiada penghujung,” katanya.
Ronnie turut menyeru semua ahli politik melangkaui parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang untuk bersama-sama kembali membaca dan menghayati Rukun Negara.
“Nilai semula sama ada strategi politik, ucapan politik, dan tindakan politik yang pernah dibawa, benar-benar menepati semangat Perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang dan membantu memperkukuhkan perpaduan serta kestabilan negara,” jelasnya.
Pada masa sama, bekas ADUN Sungai Pelek itu juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengasas negara yang membentuk Rukun Negara.
Menurutnya, apa yang ditinggalkan bukan sekadar tulisan, tetapi satu panduan penting agar negara ini terus stabil dan maju ke hadapan.