SHAH ALAM: Selepas berjaya membatalkan 14 syarat serta bon berkaitan hak jagaan anak kedua di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin mahu mengutamakan rayuan untuk membebaskan isterinya yang dipenjara kerana mengabai kanak-kanak autistik itu, tiga tahun lalu.
Peguam, Lavanesh Haresh Mahadevan berkata, anak guamnya, Zaim Ikhwan Zahari mahu terus memperjuangkan keadilan buat Ismanira Abdul Manaf, 31.
Beliau berkata, bapa dua anak berusia 31 tahun itu mahu isterinya yang kini menjalani hukuman lima tahun di Penjara Kajang, kembali ke pangkuan keluarga seperti sedia kala.
“Kejayaan untuk mengetepikan semua syarat dan bon yang ditetapkan Mahkamah Majistret di sini pada 21 Novermber lalu, sedikit sebanyak memberi harapan kepada mereka.
“Sekurang-kurangnya perjuangan berkaitan hak jagaan anak lelaki mereka berjaya diselesaikan, yang tinggal kini, rayuan supaya Ismanira dibebaskan daripada hukuman tersebut,” katanya.
Pada Rabu, Zaim Ikhwan gagal menahan air mata apabila Hakim, Suriyati Hasimah Mohd Hashim membenarkan anak kedua diserahkan semula ke pangkuannya, tanpa sebarang syarat dan bon.
Pada November tahun lalu, selepas 18 bulan adik kepada Zayn Rayyan dijaga nenek saudara dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan kanak-kanak itu dipulangkan kepada Zaim Ikhwan.
Bagaimanapun, mahkamah ketika itu memerintahkan bapa kepada dua anak berkenaan memenuhi 14 syarat yang dicadangkan JKM.
Antara syarat tersebut ialah kanak-kanak terbabit tidak boleh ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa serta perlu dipastikan bebas daripada sebarang unsur penganiayaan atau pengabaian.
Zaim Ikhwan juga perlu memastikan kanak-kanak yang menghidap autisme itu, menerima pendidikan dan terapi sewajarnya.
Mereka turut diarahkan tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah dan sebarang pertukaran tempat tinggal perlu dimaklumkan kepada pihak JKM.
Selain itu, kanak-kanak berkenaan tidak dibenarkan dijadikan kandungan di media sosial.
Sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pihak pelindung JKM boleh mengambil semula kanak-kanak itu untuk ditempatkan di institusi kebajikan.
Mahkamah turut memerintahkan Zaim Ikhwan menyempurnakan bon berjumlah RM2,000 bagi tujuan pemeliharaan dan penjagaan selama tiga tahun mengikut perenggan 30(1)(a) dan Subseksyen 30(8) Akta Kanak-kanak 2001.
Tidak berpuas hati dengan syarat berkenaan, Zaim Ikhwan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 2 Disember 2025 bagi membatalkan syarat serta bon itu supaya anak istimewa tersebut dapat kembali sepenuhnya ke pangkuan keluarga.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak 200 meter dari blok kediamannya.
Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, pada 21 Julai 2025, Zaim Ikhwan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.
Sementara pada 31 Oktober tahun sama, Hakim, Syahliza Warnoh memerintahkan wanita itu ke penjara serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan tersebut. - Sinar Harian