KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau sepanjang atau selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Kuching City FC pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan hari ini berkata polis telah membuat persiapan rapi bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang perlawanan tersebut.
Katanya, polis turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan bagi memastikan kelancaran pengurusan keselamatan sepanjang acara berkenaan.
Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan dan barangan akan dilakukan petugas keselamatan di setiap pintu masuk stadium.
Tambahnya, pelbagai barangan adalah dilarang dibawa masuk ke stadium, termasuk mercun, bunga api, laser, objek tajam, pembesar suara, wisel dan apa-apa sahaja objek yang boleh memudaratkan mana-mana individu atau pihak.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam ke stadium, mengelakkan laluan sekitar stadium jika tidak menghadiri perlawanan, mematuhi arahan pegawai dan anggota bertugas, serta mengamalkan sikap berhemah dan bertolak ansur ketika menyaksikan perlawanan.
Orang ramai juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar stadium dan tindakan saman serta tunda akan diambil terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas.
Fadil dalam kenyataan sama turut menjangkakan kehadiran 30,000 hingga 40,000 penyokong dan memaklumkan semua pintu masuk stadium akan dibuka seawal jam 5 petang tertakluk kepada arahan semasa dan keadaan cuaca.