Skip to main content

Dunia

Peserta GSF laung ‘Free Palestine’ ke arah Ben Gvir ketika tiba di Ashdod

GSF BEN GVIR
Sebuah rakaman di media sosial menunjukkan seorang peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 melaungkan ‘Bebas Palestin’ ke arah Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir sebelum diperlakukan secara kasar oleh seorang individu.

KUALA LUMPUR: Jeritan 'Free Palestine!' atau ‘Bebas Palestin’ oleh peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dihalakan tepat ke arah Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby, kesemua peserta GSF yang ditahan oleh rejim Zionis Israel pada 18 dan 19 Mei lalu telah tiba di Pelabuhan Ashdod pada petang tadi.

“Mereka ketika ini berada di Ashdod,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sementara itu, sebuah rakaman tersebar di media sosial menunjukkan para peserta dipaksa melutut ke lantai dan ditarik secara kasar oleh tentera rejim untuk dipindahkan dari kapal ke tempat tahanan.

Pada masa sama, Itamar juga turut dilihat mengelilingi para peserta sambil melemparkan kata-kata kesat kepada mereka.

Semalam, GSF memaklumkan kesemua 50 bot misi itu dipintas rejim Zionis di timur Mediterranean pada 18 dan 19 Mei, menyebabkan 428 aktivis dari lebih 40 negara ditahan termasuk 29 delegasi Malaysia yang menyertai 18 bot berkenaan.

Untuk rekod, sebanyak 54 buah kapal GSF 2.0 mula berlepas dari Pelabuhan Marmanis, Turkiye ke Gaza pada 14 Mei lalu.

Pada 30 April, sekurang-kurangnya 22 kapal GSF 2.0 dipintas oleh tentera rejim Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece sebelum dilepaskan di negara yang sama pada 2 Mei.

Dalam operasi haram itu, 10 rakyat Malaysia dilaporkan antara peserta yang ditahan atau terputus hubungan selepas kapal mereka dinaiki tentera rejim.


 

Must Watch Video

Advertisement