ISKANDAR PUTERI: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas membongkar sebuah makmal haram serta pusat penyediaan katrij vape mengandungi dadah bernilai RM16.4 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru, di sini pada Isnin lepas.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang itu, empat suspek termasuk dua warga asing berumur lingkungan 27 hingga 60 tahun ditahan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri.
Beliau berkata serbuan pertama di sebuah rumah kedai di Taman Melawati menemukan makmal haram berserta rampasan 17 tong cecair disyaki methamphetamine (91.28 liter) bernilai RM13.69 juta, satu plastik besar bahan kimia (precursor) jenis Etomidate (6.15 kilogram) bernilai RM922,800, serta pelbagai mesin memproses dadah.
"Serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Taman Ungku Tun Aminah yang menjadi kediaman suspek pula membongkar pusat memproses katrij vape mengandungi dadah. Polis merampas enam botol plastik dan 32 katrij cecair disyaki methamphetamine (3.48 liter) bernilai RM522,000 serta sembilan bekas bahan kimia Etomidate (8.46 kilogram) bernilai RM1.269 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan kedua tersebut ialah dua mesin berserta pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan khusus untuk memproses cecair di dalam katrij vape berkenaan.
Hoo berkata susulan itu, serbuan ketiga dilakukan di kawasan Taman Mutiara Mas yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki berumur 60 tahun yang bertindak sebagai perancang utama serta pembiaya kewangan sindiket berkenaan.
Beliau berkata dua suspek warga asing berperanan sebagai ahli kimia untuk memproses bahan terbabit, manakala suspek pertama bertindak sebagai penghantar (runner) bagi sindiket yang dikesan mula aktif sejak awal Januari tahun ini dengan menyasarkan pasaran tempatan.
Keseluruhan dadah yang dirampas itu, katanya, mampu merosakkan sebanyak 120,649 penagih dadah, manakala tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil melibatkan sitaan tiga kereta mewah serta wang tunai ringgit dan Dolar Singapura yang kesemuanya bernilai RM182,187.
Aset yang disita melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord bernilai RM30,500, Mercedes (RM46,000), Volkswagen Passat (RM26,000), wang tunai RM49,400 serta wang tunai SGD9,770 (RM30,287), menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM16.58 juta.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 25 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan lanjut turut mendapati dua daripada suspek memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya terus ke talian hotline JSJN, 012-2087222.
-- BERNAMA