KUALA LUMPUR: Lebih 300 jemaah menghadiri Majlis Berbuka Puasa Hari Arafah 1447H/2026M yang berlangsung di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini hari ini.
Naqib Masjid At-Taqwa, Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir berkata, keseluruhan juadah yang disediakan kepada para jemaah merupakan hasil sumbangan orang ramai dan pihak luar.
“Alhamdulillah, di Taman Tun ini soal tajaan dan sumbangan makanan bukan sesuatu yang sukar kerana ramai jemaah di sini yang sangat pemurah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
Krew Astro AWANI turut berpeluang menikmati pelbagai juadah yang disediakan antaranya sate, tauhu bakar, nasi lemak serta kuih-muih tradisional yang mula dihidangkan seawal jam 7 malam.
Sebelum berbuka puasa, majlis turut diisi dengan bacaan tahlil sebagai memperingati insan yang telah meninggal dunia.
Menurut Ahmad Fakhruddin, sambutan Hari Arafah merupakan antara program tahunan yang dianjurkan pihak masjid selain penganjuran program sempena Hari Asyura pada 10 Muharram.
Menyentuh mengenai ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Ahmad Fakhruddin memaklumkan sebanyak 15 ekor lembu akan dikorbankan di masjid tersebut pada esok.
Menurut beliau, kira-kira 200 sukarelawan termasuk Ahli Jawatankuasa masjid akan terlibat dalam menjayakan program ibadah korban berkenaan sebelum disalurkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Dianggarkan sebanyak 1,500 kilogram daging bersih hasil daripada 15 ekor lembu korban akan diagihkan kepada peserta korban, ahli kariah serta golongan fakir miskin menerusi 11 NGO yang telah dipilih,” katanya lagi.