Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS susulan ketegangan memuncak di Asia Barat

41762833513_matawangringgit.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9660/9705 berbanding dolar AS daripada 3.9510/9550 ketika ditutup pada Isnin. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan oleh perkembangan luaran susulan laporan mengenai serangan AS dan Israel ke atas kapal Iran di Selat Hormuz yang menjejaskan sentimen pasaran serantau.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9660/9705 berbanding dolar AS daripada 3.9510/9550 ketika ditutup pada Isnin.

Menurut laporan berita, serangan tersebut telah mengakibatkan beberapa kecederaan dalam kalangan warga Iran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa perkembangan sedemikian menunjukkan bahawa usaha berterusan untuk rundingan damai akan sia-sia, sekali gus berisiko menyebabkan konflik ketenteraan yang berpanjangan di Asia Barat.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent diniagakan lebih tinggi sebanyak 2.80 peratus kepada AS$98.83 setong.

“Ia situasi yang tidak menentu dan ia membawa kepada ketidakpastian pasaran yang lebih tinggi.

“Dalam pada itu, tekanan inflasi yang meningkat susulan kejutan harga minyak berkemungkinan akan mencorakkan kadar inflasi global dan, oleh itu, sentimen berhati-hati dalam kalangan pedagang akan mengehadkan peningkatan nilai ringgit dalam tempoh terdekat,” kata Mohd Afzanizam.

Bagaimanapun, beliau berkata ringgit kekal agak berdaya tahan setakat tahun ini, berada di kedudukan antara mata wang kedua terbaik di rantau ini meskipun mencatatkan turun naik baru-baru ini.

Beliau juga berkata rupiah Indonesia dan rupee India kini berada di bawah tekanan yang lebih besar disebabkan oleh kedudukan defisit mereka, menjadikan kedua-dua ekonomi lebih terdedah kepada kejutan harga minyak.

Pada penutupan, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.4917/4947 daripada 2.4860/4887 ketika ditutup pada Isnin, berkurangan berbanding euro kepada 4.6172/6225 daripada 4.5998/6044 ketika ditutup semalam dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.3470/3530 daripada 5.3311/3365 sebelumnya.

Dalam pada itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau kecuali baht Thailand, naik kepada 12.1485/1675 daripada 12.1640/1816 pada penutupan Isnin.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1038/1075 daripada 3.0932/0966 ketika ditutup semalam, berkurangan berbanding peso Filipina kepada 6.44/6.45 daripada 6.43/6.44 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 222.8/223.2 daripada 222.6/223 ketika ditutup pada Isnin.

Pasaran akan ditutup esok sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement