KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memelihara keharmonian dan semangat saling menghormati dalam mendepani cabaran semasa, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Perdana Menteri berkata perayaan itu sentiasa mengingatkan rakyat tentang nilai kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
“Pada tahun Kuda ini, kita meraikan ketekunan, keberanian dan semangat juang, seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan,” kata Perdana Menteri di laman Facebooknya.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa keharmonian hanya dapat dicapai apabila masyarakat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, sekali gus menjadi asas kukuh kepada kehidupan aman dalam negara berbilang kaum.
Beliau menegaskan bahawa dalam suasana wacana awam yang mudah dipengaruhi emosi dan hasutan, rakyat tidak harus membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan serta menghakis kepercayaan yang telah sekian lama terbina.
“Sebaliknya, perbezaan ini perlu menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan,” katanya.
Selain itu, Anwar yakin Malaysia akan terus melangkah gagah sekiranya nilai keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama.
Beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan kesejahteraan dan kemakmuran pada tahun ini, sambil mengucapkan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di negara ini.