Skip to main content

Malaysia

Piala Malaysia: JDT serap tekanan Kuching City sebelum muncul juara

https://stadiumastro.com/sukan/piala-malaysia-jdt-serap-tekanan-kuching-city-sebelum-muncul-juara
JDT dinobat sebagai juara Piala Malaysia menewaskan Kuching City di TM Stadium Nasional. - Gambar Stadium ASTRO

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) menghadirkan permainan cukup dramatik apabila menghasilkan dua gol di penghujung permainan sebelum dinobat sebagai juara Piala Malaysia menewaskan Kuching City di TM Stadium Nasional, sebentar tadi.

Status pilihan utama jelas memihak kepada Johor Darul Ta'zim FC, namun Kuching City FC membuktikan mereka bukan hadir sekadar pelengkap jadual apabila memberikan tentangan sengit dalam aksi final Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Meskipun reputasi kedua-dua pasukan diibaratkan seperti langit dan bumi, 20 minit awal perlawanan menyaksikan aksi cukup seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Malah, Kuching City hampir mengejutkan Harimau Selatan pada minit ke-20 menerusi Ramadan Saifullah, namun peluang terbaik itu gagal dimanfaatkan untuk meletakkan The Cats di depan.

Pemain sama terus menjadi ancaman buat benteng JDT apabila sekali lagi menguji gawang lawan menerusi rembatan kaki kanan pada minit ke-32, namun penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi bertindak cemerlang dengan tangkapan kemas.

Kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan hingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Bersambung babak kedua, JDT tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol pembukaan dengan beberapa pertukaran taktikal dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

Tekanan berterusan hampir membuahkan hasil pada minit ke-54 menerusi percubaan Bergson da Silva, namun peluang tersebut gagal diterjemahkan.

Drama terus memuncak apabila Kuching City dihadiahkan sepakan penalti, tetapi Ramadan sekali lagi gagal menyempurnakan peluang keemasan yang mungkin mampu mengubah perjalanan perlawanan.

Kegagalan itu nyata memberi kelebihan psikologi kepada JDT.

Selepas beberapa siri serangan bertali arus, kebuntuan akhirnya dipecahkan menerusi jaringan deras Guilherme De Paula yang menewaskan penjaga gol Kuching City untuk meletakkan JDT di depan.

Kemasukan semula Arif Aiman Hanapi turut memberikan impak besar apabila pemain sensasi negara itu membuktikan mengapa kepulangannya dinantikan ramai penyokong Harimau Selatan dengan menjaringkan gol kedua Harimau Selatan sekali gus melengkapkan kemenangan pasukan.

Keputusan itu menyaksikan JDT sekali lagi mengesahkan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan dengan menjulang satu lagi trofi berprestij musim ini. - Stadium ASTRO

 

 

Must Watch Video

Advertisement