Skip to main content

Malaysia

50 belia sertai Konvoi Bermotor Bersama Skuad Antidadah Dua Roda

AADK
Ruslin (depan) menyertai program Konvoi Bermotor bersama SKUAD Antidadah Dua Roda di sekitar pekan Kudat sambil menyampaikan kempen Pesanan Antidadah (PESADA) kepada masyarakat setempat. - Gambar AADK

KUDAT: Hampir 50 belia turun padang menjayakan program Konvoi Bermotor bersama Skuad Antidadah Dua Roda di sekitar pekan Kudat, malam ini.

Program konvoi bermotor yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh bertujuan menyampaikan kempen Pesanan Antidadah (PESADA).

Ruslin berkata, aktiviti ini adalah sebahagian daripada pengisian dalam Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) bertujuan memperkasakan mesej pencegahan dadah secara santai, di samping mendekati komuniti setempat secara bersemuka.

“Program komuniti seperti ini merupakan salah satu pendekatan proaktif bagi menarik minat golongan muda agar menjauhi gejala negatif, terutamanya penyalahgunaan dadah.

"Kami mahu menunjukkan bahawa aktiviti permotoran boleh diisi dengan pengisian yang sihat, bermanfaat, dan mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sepanjang laluan konvoi, para peserta turut singgah di beberapa lokasi tumpuan awam untuk mengedarkan risalah bermaklumat mengenai bahaya dadah serta kempen PESADA.

Tambah Ruslin, kehadiran hampir 50 belia termasuk ahli Skuad Antidadah dari daerah itu membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam menyokong usaha kerajaan ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat selari dengan misi Dadah Terkawal 2030.

“Program berakhir dengan jayanya dan akan diteruskan ke daerah-daerah lain dalam usaha memperluaskan lagi jaringan SKUAD Antidadah,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi SKUAD Antidadah Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan dan Pengarah AADK Sabah, Elmariah Chung.


ENDS///

Must Watch Video

Advertisement