PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Kewangan (MoF) di sini.
Mesyuarat bermula 3 petang di bangunan Perbendaharaan itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; dan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Mesyuarat tahunan tersebut adalah platform bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berunding serta memutuskan secara kolektif perkara berkaitan kewangan antara kedua-dua pihak.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiba pada 3 petang sebelum sesi bergambar bersama tetamu kehormat diikuti mesyuarat tertutup.
Mesyuarat dijangka berakhir sekitar 4.30 petang dan MoF akan mengeluarkan kenyataan berhubung hasil perbincangan mesyuarat itu kemudian.
Antara pemimpin negeri yang hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud; serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
-- BERNAMA