ALOR SETAR: Golongan pesawah berharapkan sokongan berterusan daripada kerajaan bagi membantu mendepani peningkatan kos penanaman, sekali gus memastikan kelangsungan industri padi negara.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata kenaikan harga bahan api ketika ini ekoran krisis tegara global memberi kesan ketara kepada kos operasi sawah, justeru memerlukan pendekatan menyeluruh bagi memastikan sektor itu kekal mampan.
Beliau berkata kos penanaman padi kini jauh berbeza berbanding tiga dekad lalu melibatkan pelbagai aspek termasuk perkhidmatan pembajakan, penuaian serta input pertanian seperti baja dan racun.
“Situasi global seperti konflik dan krisis memberi kesan kepada kos, justeru langkah penyelesaian dan tindakan segera daripada kerajaan amat diperlukan kerana aktiviti penanaman padi perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan kelangsungan industri.
“Sekiranya pengeluaran padi tempatan terjejas atau pesawah mengambil keputusan untuk tidak mengusahakan sawah, ia akan memburukkan lagi krisis makanan,” katanya selepas sesi pertemuan bersama pesawah dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak, di sini, hari ini.
Beliau berkata para pesawah berharap agar kerajaan dapat mencari mekanisme terbaik untuk meredakan beban kos operasi, memandangkan sektor itu bukan sahaja menjadi sumber pendapatan utama mereka, malah tunjang kepada sekuriti makanan negara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PeSAWAH, Azahar Hashim, berkata peningkatan kos bahan api turut memberi kesan kepada pengusaha jentera seperti traktor dan mesin penuaian yang merupakan komponen penting dalam rantaian pengeluaran padi.
Beliau berkata penyesuaian kadar upah terpaksa dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan operasi dapat diteruskan selari dengan kos semasa.
Dalam pada itu, pemilik traktor, Mohd Amirul Idris, berkata beliau kini lebih berhati-hati dalam menetapkan kadar perkhidmatan susulan perubahan kos bahan api.
“Walaupun berdepan cabaran, kami tetap komited untuk tidak membebankan pesawah dan memastikan kerja di sawah berjalan lancar,” katanya.
— BERNAMA