KUALA LUMPUR: Tindakan menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga petrol dan diesel membawa padah apabila seorang individu didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.
Tertuduh, Nur Irsalina Omar Kumar didakwa memuat naik hantaran yang disunting menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3 menerusi akaun Threads miliknya “its.ellsaleena_” pada 31 Mac lalu.
Hantaran tersebut mengandungi maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api sehingga mengelirukan orang ramai serta mencetuskan kegusaran awam berkaitan kos sara hidup.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, namun wanita itu telah menjelaskan bayaran berkenaan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan penyebaran maklumat palsu terutama melibatkan isu kepentingan awam boleh menjejaskan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.