Skip to main content

Malaysia

'Kurang ajar rejim jahat' - PM desak pembebasan segera aktivis GSF

GSF 2.0. Kredit: FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan tegas menyifatkan perbuatan rejim jahat itu sebagai kurang ajar terhadap misi bantuan kemanusiaan. - Foto/Facebook Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis selepas kapal misi kemanusiaan, Global Sumud Flotila dipintas dan ditahan oleh rejim Zionis Israel pada petang Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan tegas menyifatkan perbuatan rejim jahat itu sebagai kurang ajar terhadap misi bantuan kemanusiaan.

"Ia bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin," katanya.

Anwar menambah, dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin serta pihak yang membawa bantuan kemanusiaan.

Jelas beliau, Zionis telah memintas dan menahan lebih 100 orang aktivis termasuk 16 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman bagi membela kemanusiaan sejagat.

"Malaysia lantas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan," katanya lagi.

Jumlah rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 yang ditahan tentera Israel setakat ini meningkat kepada 16 orang.

Perkembangan terkini sehingga jam 7.05 petang itu dikongsi melalui paparan langsung yang disiarkan di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia.

Semua 16 rakyat Malaysia itu menaiki sembilan kapal, yang menjadi sebahagian daripada 15 yang dilaporkan dipintas dan diceroboh rejim Zionis.

 

Must Watch Video