IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini hari ini.
Sambutan bertemakan 'Guru Bitara Nadi Negara' itu merupakan manifestasi penghargaan kepada peranan guru yang melangkaui tugas penyampai ilmu dan mereka kini diiktiraf sebagai pembina masa depan negara.
Konsep utama pada tahun ini adalah bermatlamat untuk menjulang profesionalisme guru membentuk insan sejahtera yang berteraskan rukun MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Turut hadir pada sambutan berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad serta kira-kira 3,000 warga pendidik dari seluruh negara.
Fadhlina dalam ucapannya mengumumkan 12 inisiatif menggembirakan bagi memperkasakan dan memperkukuh tugas guru antaranya kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap Satu dan Tahap Dua diteruskan secara percuma kepada semua guru.
Selain itu, Fadhlina turut mengumumkan Biasiswa Perguruan Persekutuan diperluaskan kepada pemimpin sekolah untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana selain Hadiah Latihan Persekutuan khas kepada guru yang sanggup berkorban mengajar di sekolah rintangan di bawah ProHas (Program Hadir Ke Sekolah) di kawasan P1, P2, dan P3.
Inisiatif lain yang diumumkan Fadhlina adalah peruntukan sebanyak RM169 juta untuk membekalkan peranti kepada setiap sekolah bagi terus memperkukuh kokurikulum persekolahan tahun depan, seterusnya dapat mengaplikasikan teknologi tanpa gangguan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Turut diumum Sistem Perekodan Kokurikulum secara manual dimansuhkan dengan pihak sekolah diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan kokurikulum mengikut kesesuaian dan kreativiti masing-masing, sebelum mencatatkan maklumat kokurikulum murid dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Sementara itu, Perdana Menteri yang sesekali membahasakan dirinya ‘Cikgu Anwar’ dalam ucapan perasmiannya menekankan konsep "kecemerlangan tanpa roh" dengan menegaskan bahawa kepintaran akademik semata-mata tidak memadai jika ia terpisah daripada nilai kemanusiaan, akhlak dan keprihatinan sosial.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi kisah peribadi mengenai hubungan akrab beliau dengan bekas gurunya yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Allahyarham Tan Sri Rahman Arshad, sebagai simbol penghormatan tinggi seorang murid terhadap guru.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan tiga anugerah, iaitu Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) Putrajaya, Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Ahmad Rafee Che Kassim, dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Abdul Rasid Bakar.
Perak telah dipilih sebagai tuan rumah sambutan pada tahun ini yang berlangsung selama dua hari sejak semalam, dengan beberapa acara utama telah diadakan antaranya Majlis Santapan Malam yang dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Majlis Anugerah Guru Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan keunggulan warga pendidik, sebanyak 32 anugerah pelbagai kategori antaranya Anugerah Khas Menteri Pendidikan, Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan, selain anugerah kategori Guru Inovatif, Guru Berwibawa dan Anugerah Ikon seperti Pencipta Kandungan Digital dan Guru Orang Kelainan Upaya (OKU) Berwibawa.
Sambutan pada tahun ini bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting dalam menjayakan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Ia mencakupi Peningkatan Kualiti Pendidikan: Memperkasakan pedagogi abad ke-21 yang mengintegrasikan teknologi digital dan kecerdasan buatan, Kesejahteraan Guru: Mengimbangi beban tugas guru, menyediakan sokongan psikososial dan mengiktiraf kepakaran guru dan Pendidikan Inklusif: Menjadikan guru sebagai agen saksama agar tiada murid yang tercicir, termasuk murid berkeperluan khas.
-- BERNAMA