IPOH: Operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden bot karam yang membawa migran Indonesia di sekitar perairan Pulau Pangkor pada 11 Mei, ditamatkan sepenuhnya hari ini selepas enam hari.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu dihentikan 7 petang tadi, susulan tiada penemuan baharu dikesan di sekitar kawasan pencarian.
Setakat ini sebanyak 39 mangsa telah ditemukan, membabitkan 23 individu selamat manakala 16 lagi disahkan meninggal dunia.
“Keterangan awal yang diperoleh pada hari pertama operasi menyatakan jumlah keseluruhan mangsa seramai 37 orang, namun angka itu dipercayai tidak tepat,” menurut kenyataan itu.
Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita dihantar ke Hospital Taiping dan Teluk Intan, untuk bedah siasat dan pengecaman.
Selain APMM, operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), selain komuniti nelayan sekitar perairan tersebut.
Insiden berlaku pada 11 Mei, melibatkan sebuah bot yang dipercayai membawa migran warga Indonesia karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor, ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia.
-- BERNAMA