Skip to main content

Malaysia

Perbincangan berterusan CAAM, MAHB demi kelangsungan industri penerbangan - Loke

KUALA LUMPUR, 17 Mac -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bercakap pada sidang media selepas menyampaikan edaran pek Hari Raya Aidilfitri 2026 kepada penumpang KTMB di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Pengangkutan terus mempergiat usaha bagi memastikan kelangsungan industri penerbangan melalui siri perbincangan berterusan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, kata Anthony Loke. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) terus mempergiat usaha bagi memastikan kelangsungan industri penerbangan melalui siri perbincangan berterusan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, satu sesi libat urus juga akan diadakan dengan pihak industri penerbangan minggu depan untuk membincangkan langkah diambil MOT susulan krisis tenaga global yang dihadapi kini.

“Seminggu dua lepas, saya berjumpa dengan CAAM, berbincang dengan MAHB. Kita akan terus mengadakan sesi libat urus dengan industri penerbangan pada minggu hadapan untuk memberikan respons kepada industri penerbangan apa langkah berkaitan untuk membantu kelangsungan industri penerbangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Bulan April, di sini, hari ini.

Loke menjelaskan, krisis berkenaan turut mendorong MOT menggalakkan rakyat untuk terus menggunakan pengangkutan awam terutamanya di Semenanjung.

“Kita harap dapat juga tunjukkan bahawa apa dilakukan oleh kerajaan khususnya dalam pembinaan kemudahan rel, terutamanya landasan-landasan kereta api yang menelan belanja cukup besar. Kesemua ini dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, MOT menjangkakan akan berlaku perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat dengan lebih ramai akan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik (EV) selepas ini.

Justeru, beliau berkata, menjadi tanggungjawab MOT untuk memastikan sistem pengangkutan awam negara beroperasi dengan tahap kecekapan, kebolehpercayaan dan keselesaan yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, isu keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan kerajaan dengan langkah lebih tegas dan respons pantas akan dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan, khususnya melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Kita mengakui bahawa isu sebegini merupakan isu besar kepada masyarakat...ia meragut nyawa manusia dan sudah tentu setiap kali apabila berlaku kemalangan, ia akan mendapat perhatian yang cukup besar daripada masyarakat.

“Jadi kita perlu membuat respons lebih cepat untuk memastikan keselamatan jalan raya terjamin. MOT akan terus memastikan langkah keselamatan dapat diambil dan juga perubahan dari segi pindaan kepada undang-undang akan sentiasa dikaji,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video