PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang bekas pekerja bengkel mengecat kereta kerana membunuh lelaki warga emas dengan menikam mangsa berkali-kali menggunakan pisau di sebuah inap desa, lima tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Lu Kian Pin, 41, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Turut bersidang Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Hakim Mohd Radzi, yang membacakan keputusan berkata mahkamah mendapati perayu (Lu) gagal menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mensabitkannya atas pertuduhan.
"Tiada alasan untuk mahkamah ini campur tangan dapatan dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Kami mendapati perayu gagal membuktikan terdapat provokasi oleh mangsa dan gagal mengemukakan alasan bermerit mewajarkan mahkamah ini untuk mengetepikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Perayu juga menikam mangsa di bahagian dada dan perut sehingga menyebabkan kematian. Niat untuk membunuh bukan satu elemen perlu dibuktikan oleh pendakwaan, tetapi adalah memadai untuk pihak pendakwaan membuktikan niat perayu untuk mencederakan mangsa dan kecederaan itu boleh menyebabkan kematian.
"Oleh itu, kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa rayuan perayu tidak bermerit. Rayuan perayu ditolak dan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata hakim itu.
Lelaki itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Februari 2024 yang menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mac 2021 dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh dengan menyebabkan kematian Foo Ji Khwe, 78, di sebuah inap desa di Jalan Pinang, Taman Kota Kulai, Johor pada 3.30 petang, 7 Mac 2021.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha berhujah saksi pendakwaan ke-12 (SP12) iaitu penyewa di inap desa sama terserempak dengan Lu bersama si mati sedang menaiki anak tangga ke tingkat satu dan mereka bertegur sapa.
"SP12 dalam keterangannya menyatakan lelaki itu (Lu) berkata kepada SP12, 'semua orang mahu tipu' dan si mati meminta SP12 menjauhi sedikit dari lelaki itu sebab dia mabuk sebelum kedua-dua lelaki itu menaiki tangga ke aras atas (inap desa).
"SP12 mendengar bunyi seperti ada pergaduhan dan kemudian mendengar jeritan. Wanita itu (SP12) naik ke atas dan semasa di tangga bahagian tengah, beliau melihat tertuduh turun dengan memegang sebilah pisau yang berlumuran darah ditangannya," katanya.
Sarulatha berkata hasil bedah siasat menunjukkan terdapat 16 kesan kecederaan termasuk tujuh luka tikaman yang mana tiga daripadanya tikaman yang serius membawa kepada kematian si mati.
"SP4 (doktor) menyimpulkan sebab kematian adalah akibat luka tikaman berganda pada dada dan abdomen," katanya.
Pada prosiding hari ini, perayu diwakili peguam G.Ravi.
-- BERNAMA