Skip to main content

Malaysia

Projek MAWILLA 4 dalam proses pengambilalihan tanah

KUCHING, 9 April -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) beramah mesra pada majlis penyampaian sumbangan kebajikan kepada warga tentera pada lawatan kerja beliau di Kem Muara Tuang, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) beramah mesra pada majlis penyampaian sumbangan kebajikan kepada warga tentera pada lawatan kerja beliau di Kem Muara Tuang, hari ini. - Foto Bernama

KUCHING: Projek pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Muara Tebas di sini kini berada dalam fasa pengambilalihan tanah.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rundingan sedang dijalankan antara pihak kementerian dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar mengikut prosedur.

Beliau berkata MAWILLA 4 merupakan projek strategik yang perlu disegerakan.

“Kita sudah kenal pasti lokasi dan sedang berurusan dengan kerajaan negeri supaya mereka dapat memudahkan proses pengambilalihan tanah.

“Soal tanah ini bukan mudah, tetapi saya berharap kita dapat selesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata pembinaan MAWILLA 4 sebahagian daripada rancangan strategik pihaknya untuk memastikan keseimbangan penempatan anggota antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah.

“Namun, kita masih berusaha ke arah itu kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor.

“(Faktor seperti) pembinaan kem baharu serta pemindahan aset merupakan satu proses yang tidak boleh dilaksanakan secara segera dan memerlukan perancangan rapi,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video