KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengesahkan berlaku satu insiden melibatkan seorang penumpang yang terjatuh ke kawasan landasan di Stesen Abdullah Hukum pada jam 6.09 petang, Jumaat .
Berdasarkan satu kenyataan, susulan kejadian itu, bekalan kuasa di stesen berkenaan telah dinyahaktifkan sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pihak polis, jabatan bomba dan penyelamat serta pasukan ambulans menjalankan operasi menyelamat di lokasi.
Akibat insiden tersebut, perkhidmatan tren antara Stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum terpaksa dihentikan sementara.
"Bagi mengurangkan kesulitan penumpang, perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong perjalanan di laluan terjejas.
"Rapid Rail menasihatkan penumpang yang memerlukan bantuan agar merujuk kepada pegawai stesen atau Polis Bantuan yang bertugas," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui saluran media sosial Rapid KL serta pengumuman rasmi di stesen-stesen terlibat.
Dalam masa yang sama, Rapid Rail memaklumkan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Syarikat itu turut memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan dan kelewatan perjalanan yang berlaku akibat insiden berkenaan.