Skip to main content

Malaysia

Peniaga bazar Ramadan diingatkan tidak kaut keuntungan berlebihan

SEREMBAN, 2 Mac -- Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Faizah Othman (tiga, kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga air balang ketika melakukan pemantauan sempena Ops Pantau di Bazar Garden Homes S2 hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Faizah (tiga, kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga air balang ketika melakukan pemantauan sempena Ops Pantau di Bazar Garden Homes S2 pada Isnin. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menasihatkan peniaga makanan di bazar Ramadan supaya tidak mengaut keuntungan berlebihan atau mengenakan harga terlalu mahal hingga membebankan pengguna.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri Faizah Othman berkata walaupun pihaknya tidak mengawal harga barangan makanan secara langsung kerana bukan di bawah harga kawalan tetapi tetap komited dalam memastikan pengguna menikmati harga berpatutan.

"Kita akan melakukan pemantauan secara berterusan, terutamanya di semua bazar Ramadan dan premis jualan bagi memastikan harga barangan mematuhi keperluan serta perundangan ditetapkan, sekali gus mengelakkan sebarang elemen pencatutan.

"Jika ada aduan peniaga mengenakan harga terlalu mahal, notis akan dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat awal sebelum pemeriksaan dan analisis lanjut dijalankan, termasuk menilai kapasiti keuntungan yang diperoleh bagi menentukan sama ada berlaku pencatutan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Operasi Pantau KPDN di Bazar Ramadan Seremban 2 pada Isnin.

Beliau berkata penentuan pencatutan dibuat berdasarkan formula khusus dan perbuatan mengambil keuntungan tidak munasabah adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam pada itu, Faizah berkata pihaknya telah melaksanakan Op Pantau bermula 19 Feb hingga semalam, dengan 345 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 14 premis didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan kompaun berjumlah RM1,400.

"Antara kesalahan dikesan adalah tidak meletakkan tanda harga, menjual barangan harga kawalan melebihi harga maksimum, memiliki barangan tanpa lesen dan mengunakan atau memiliki alat timbang/sukat yang tidak ditentusahkan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found