Skip to main content

Malaysia

Pengusaha madu kelulut rugi lebih RM10,000 akibat serangan beruang

41650339197_SunBear.jpg
Pegawai Perhilitan memaklumkan fenomena cuaca panas pada masa ini, antara faktor menyebabkan haiwan liar itu keluar mencari makanan dari hutan. - Gambar hiasan

KUALA NERUS: Seorang pengusaha madu kelulut di Bukit Cempaka, Maras, di sini kerugian lebih RM10,000 selepas 10 sarang kelulutnya dimusnahkan beruang matahari sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.

Che Mohd Zaid Yusof, 56, berkata kejadian pertama berlaku pada malam 27 April lepas, diikuti insiden kedua pada 2 Mei lepas dan terakhir antara pukul 3 hingga 4 pagi tadi.

Beliau berkata serangan beruang itu kali pertama berlaku sepanjang tempoh 12 tahun dia mengusahakan madu kelulut di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar.

"Sehari sebelum serangan pertama berlaku, saya baru sahaja menerima 53 unit log kelulut yang ditempah dari Kuala Lipis, Pahang. Log kelulut dari spesies geniotrigona thoracica baunya agak kuat, mungkin itu yang menarik kehadiran beruang.

"Pada awalnya saya ingatkan perbuatan kera, tetapi selepas melihat kesan kuku, cara makan dan  kerosakan log kelulut, nampak lebih kepada serangan beruang," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Che Mohd Zaid berkata susulan itu dia membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu bagi memasang perangkap di kawasan kebun.

Pegawai Perhilitan memaklumkan fenomena cuaca panas pada masa ini, antara faktor menyebabkan haiwan liar itu keluar mencari makanan dari hutan.

"Perhilitan akan datang pasang perangkap hari ini. Saya bimbang sekiranya kejadian berulang, lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung memandangkan harga log agak tinggi antara RM1,000 ke RM2,000 seunit mengikut spesies kelulut.

"Kekurangan sumber makanan akibat kebakaran hutan dan cuaca panas menjadi punca beruang terpaksa keluar hingga ke kampung untuk mencari makanan," katanya yang mempunyai 150 unit log kelulut.

-- BERNAMA

Must Watch Video