PASIR MAS: Seorang pengganggur hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat melarikan seorang lelaki, tahun lepas.
Mohd Hairie Ab Rahman, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Dia didakwa bersubahat dengan Cik Hisammudin Hassan, 51, untuk melarikan Marzuki Mustapha, 45, dengan niat mengurung mangsa secara sulit dan salah di sebuah rumah di Kampung Paloh, Palekbang, Tumpat pada 2.30 petang antara bulan Mac hingga April tahun lepas.
Mohd Hairie didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Zulkpli Abdullah membenarkan Mohd Hairie diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA