Skip to main content

Malaysia

Ekosistem pendidikan tinggi diperkukuh menerusi pelaksanaan perpustakaan digital - Zambry

CYBERJAYA, April 16 -- Higher Education Minister Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir speaks to the media after officiating the launch of the University of Cyberjaya’s upgraded library.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Zambry semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital UoC, hari ini. - Gambar Bernama

CYBERJAYA: Usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara terus dipertingkatkan menerusi pelaksanaan perpustakaan digital di semua universiti dan politeknik di Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata inisiatif itu bertujuan mempercepat akses kepada sumber rujukan dan memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan dalam kalangan pelajar dan pensyarah.

“Kita sedang merancang untuk memastikan semua universiti dan juga politeknik mempunyai perpustakaan digital, dan saya boleh katakan hampir semua universiti sudah pun dilengkapi dengan perpustakaan digital mereka.

“Seperti yang ada di  University of Cyberjaya (UoC) ini yang menggunakan pendekatan sama, kita harap ia dapat menambah sumber ilmu dan rujukan bagi membolehkan sebarang proses ataupun kajian pendidikan tidak mengambil masa yang panjang untuk menghasilkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital UoC, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Cyberjaya Education Group Berhad Tan Sri Mohd Shahrom Nordin berkata perpustakaan yang dinaik taraf itu menyumbang kepada pengukuhan keseluruhan akademik, meningkatkan keupayaan penyelidikan serta menyokong pembangunan holistik pelajar UoC.

“Penaiktarafan perpustakaan itu juga sebahagian daripada usaha bagi memastikan institusi kami kekal relevan, responsif serta selari dengan keperluan semasa pelajar dan industri yang sentiasa berubah.

“Usaha menaik taraf itu dibuat dengan teliti untuk menyokong amalan pembelajaran moden serta memperkukuh akses kepada sumber digital, di samping menyediakan ruang khusus untuk kolaborasi, penyelidikan dan pembelajaran kendiri,” katanya dalam ucapannya.

Beliau berkata dalam landskap pengetahuan yang semakin digital dan saling berhubung ketika ini, kemudahan seperti itu memainkan peranan penting dalam menyokong kecemerlangan akademik serta inovasi.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar dilengkapi bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, malah dengan peralatan, sumber dan persekitaran yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang semakin kompleks dan berdaya saing,” tambahnya.

-- LAGI

 

ZAMBRY-PERPUSTAKAAN 3 (AKHIR) CYBERJAYA

 

Direka sebagai perpustakaan akademik moden yang berteraskan digital, kemudahan itu mencerminkan peralihan daripada model tradisional berfokuskan buku kepada hab ilmu yang lebih kolaboratif serta dipacu teknologi.

Dengan kapasiti kira-kira 600 pelajar pada satu-satu masa, perpustakaan itu menyediakan persekitaran yang seimbang untuk pembelajaran individu, perbincangan berkumpulan serta interaksi dalam kalangan pelajar, ahli akademik dan rakan industri.

Kemudahan itu menawarkan akses kepada 22,309 naskhah fizikal serta lebih 29 juta sumber digital, termasuk pangkalan data akademik dan jurnal elektronik untuk pelbagai bidang serta keperluan penyelidikan.

Projek berkenaan melibatkan pelaburan keseluruhan kira-kira RM1.49 juta, mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh infrastruktur akademik serta menambah baik pengalaman pembelajaran pelajar secara menyeluruh.

Antara kemudahan utama termasuk ruang perbincangan kolaboratif, bilik pembelajaran pintar, zon pembelajaran senyap, terminal akses digital serta ruang pembelajaran fleksibel untuk memenuhi keperluan pembelajaran individu dan berkumpulan.

-- BERNAMA

Must Watch Video