Skip to main content

Malaysia

Pengagihan air secara berjadual diteruskan di Kluang dan Pontian

JOHOR BAHRU, 5 Nov -- Petugas Ranhill SAJ mengisi air ke dalam baldi milik seorang penduduk, Mohamad Azrul Mohd Lokman (kanan) susulan gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran di Ulu Sungai Johor ketika tinjauan di Taman Impian Emas, hari ini.  Gangguan tersebut menjejaskan pengguna di sekitar kawasan berkenaan selepas sumber air mentah terjejas, sekali gus memerlukan agihan air bersih dilakukan secara berperingkat melalui lori tangki bagi memastikan keperluan harian penduduk terus terjamin. B
Menurut Ranhill SAJ, pengagihan bekalan air akan dilaksanakan mengikut ketetapan 24 jam dengan bekalan air manakala 48 jam berikutnya tiada bekalan air. - Gambar fail/Bernama

JOHOR BAHRU: Pengagihan air secara berjadual atau Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian diteruskan dengan jadual baharu bermula esok hingga 28 Feb ini.

Menurut Operator Air Johor Ranhill SAJ pelaksanaan itu susulan paras tadahan Empangan Machap menunjukkan trend penurunan dan pada tahap pemantauan rapi.

Menurut syarikat itu pengagihan bekalan air akan dilaksanakan mengikut ketetapan 24 jam dengan bekalan air manakala 48 jam berikutnya tiada bekalan air.

“Pembahagian bekalan adalah mengikut zon dan jadual yang telah ditetapkan.

“Jadual bagi kedua-dua tempoh masa itu demi memastikan pengurusan sumber air mentah dapat dilaksanakan secara terkawal selain menstabilkan operasi loji rawatan air dalam keadaan kapasiti yang terhad,” menurut kenyataan yang di muat naik di Facebook hari ini.

Menurut Ranhill SAJ Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam terus beroperasi dan membekalkan air terawat kepada pengguna namun kadar pengeluaran diselaraskan bagi menjamin kesinambungan bekalan secara menyeluruh dan mampan.

"Pelaksanaan BAB ialah langkah pengurusan sementara bagi memastikan agihan yang lebih adil dan mencukupi kepada semua kawasan terlibat sepanjang tempoh kemarau.

"Sehubungan itu, para pengguna dinasihati supaya menggunakan air secara berhemah, mengelak pembaziran dan menyimpan bekalan secukupnya untuk kegunaan asas,” menurut kenyataan itu.

Menurut syarikat itu bekalan air alternatif melalui lori tangki, tangki statik dan air mineral masih aktif digerakkan mengikut keperluan di lokasi strategik.

BAB mula dilaksanakan 7 Feb lepas dengan bekalan air disalurkan selama 36 jam diikuti 36 jam berikutnya tanpa bekalan air.

--BERNAMA

Must Watch Video