Skip to main content

Malaysia

SPRM buka siasatan perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

SINAR HARIAN
Menurut sumber, kes berkenaan turut melibatkan isu ketirisan dana kerajaan dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.1 bilion. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Menurut sumber, antara tindakan susulan yang sedang diambil ialah memanggil beberapa saksi, termasuk Ketua Setiausaha kementerian terlibat, bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Difahamkan, siasatan itu dijalankan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

“SPRM juga telah memperoleh beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari 2026,” katanya.

Tambah sumber itu, kes berkenaan turut melibatkan isu ketirisan dana kerajaan dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.1 bilion.

Berdasarkan maklumat diperoleh, cadangan perjanjian tersebut didakwa tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Namun begitu, perjanjian ini tetap dimeterai secara tergesa-gesa. Perkara ini akan diperincikan dan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama yang terlibat,” katanya lagi.

Pada masa sama, beberapa individu turut didakwa dilantik ke jawatan tinggi dalam syarikat terbabit selepas meninggalkan kementerian berkaitan.

Menurut sumber lagi, perkembangan itu menimbulkan persoalan berhubung konflik kepentingan dan SPRM berpandangan wajar diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan sedang dijalankan namun enggan mengulas lanjut.


 

Must Watch Video