PASIR MAS: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan, iaitu memiliki sepucuk pistol dan peluru tanpa kebenaran sah pada 6 Feb lepas.
Muhamad Afezi Alias, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Tertuduh didakwa memiliki pistol jenis Smith & Wesson 9 milimeter (mm) Parabellum model 3914 di hadapan sebuah kedai di Pengkalan Kubor, Tumpat pada kira-kira 8.30 malam 6 Feb lepas mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga berdepan pertuduhan memiliki tujuh butir peluru jenis Thai Arms 39 mm dan sebutir peluru jenis NRC Luger 9 mm di lokasi, masa serta tarikh sama mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Nailah Harizan manakala Muhamad Afezi tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 6 April sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen.
Berkait kes sama, Muhamad Ikhmal Aripin, 26, yang juga rakan Muhamad Afezi, minta dibicarakan atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Faris Syed Ali.
Dia didakwa menghalang seorang pegawai polis berpangkat sarjan menjalankan fungsi awamnya pada masa, tarikh dan tempat sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff manakala Muhamad Ikhmal tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA