Skip to main content

Malaysia

Pembangkang Kedah kecewa projek naik taraf LRA Bukit Selambau terhenti

Bau Wong Bau Ek
Bau Wong Bau Ek berkata keadaan itu memberikan kesan langsung kepada kira-kira 15,000 akaun pengguna di sekitar Sungai Petani, Sungai Lalang, Merbok dan Tanjung Dawai.

ALOR SETAR: Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dekat Sungai Petani yang didakwa dihentikan selepas kontraktor gagal menyiapkannya walaupun telah diberi empat kali lanjutan masa (EOT), menimbulkan kekecewaan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Bau Wong Bau Ek berkata keadaan itu memberikan kesan langsung kepada kira-kira 15,000 akaun pengguna di sekitar Sungai Petani, Sungai Lalang, Merbok dan Tanjung Dawai.

“Saranan saya, kerajaan perlu melantik kontraktor yang lebih kompeten dan berwibawa bagi menyiapkan projek ini secepat mungkin demi menjamin bekalan air di semua kawasan tersebut.

“Kerajaan juga perlu mempercepat projek naik taraf LRA yang masih dalam pembinaan bagi meningkatkan kapasiti rizab air negeri untuk menghadapi musim kemarau pada masa hadapan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah pada persidangan DUN Kedah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Bau Wong berkata langkah strategik perlu diberi perhatian bagi memastikan kestabilan bekalan air bersih, khususnya ketika pembangunan perumahan yang rancak memerlukan perancangan sumber air secara holistik bagi mengelakkan masalah tekanan rendah atau gangguan bekalan.

Beliau berkata memandangkan Kedah kini dalam fasa menaik taraf beberapa LRA utama, penyelarasan antara pemaju dengan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) adalah kritikal bagi memastikan permintaan domestik di kawasan perumahan baharu dapat ditampung.

“Isu bekalan air dan infrastruktur jalan raya merupakan tunjang utama dalam pembangunan kawasan perumahan baharu, terutama di negeri yang pesat membangun seperti Kedah.

“Ketidakseimbangan antara pertambahan penduduk dengan kapasiti infrastruktur sedia ada boleh menjejaskan kualiti hidup serta nilai hartanah sesuatu kawasan,” kata ADUN Sidam itu.

Menyentuh isu cuaca panas yang menjejaskan tanaman padi di negeri ini, beliau berkata pelaksanaan jadual penggiliran air perlu dilakukan bagi memastikan pengagihan yang adil serta mengelakkan pembaziran di kawasan hilir.

Bau Wong turut menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperketat penguatkuasaan Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk mengenakan kompaun dan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video