SEOUL: Korea Selatan bakal melarang aktiviti menimbun bahan mentah petrokimia utama mulai Rabu, menurut kerajaan, susulan perang Iran meningkatkan risiko gangguan bekalan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kementerian Industri dan Kewangan dalam kenyataan bersama pada Selasa memaklumkan, pihak mereka akan mengeluarkan dan menguatkuasakan larangan itu mulai tengah malam.
Gangguan bekalan sudah mula melanda sebahagian pasaran petrokimia kerana kenaikan harga nafta yang didorong oleh ketegangan Asia Barat sekali gus melonjakkan kos, menekan pengeluaran dan meningkatkan kebimbangan mengenai penimbunan bahan.
Langkah itu meliputi tujuh bahan asas yang dihasilkan daripada nafta iaitu etilena, propilena, butadiena, benzena, toluena, xilena dan pecahan minyak ringan yang lain.
Perniagaan yang mengendalikan bahan berkenaan akan dihalang daripada memegang inventori melebihi 80 peratus daripada paras dari tempoh yang sama tahun lepas dalam tempoh 30 hari sebelum pemeriksaan bermula.
Menurut kerajaan, pihaknya mungkin memperluas sekatan kepada barangan yang diperoleh daripada bahan mentah asas jika ia juga dianggap berkemungkinan menjejaskan bekalan.
Ia juga mungkin mengarahkan pelarasan kecemasan terhadap pengeluaran, penghantaran dan penjualan barangan yang terjejas jika kebimbangan bekalan berterusan walaupun langkah-langkah berkenaan dilaksanakan, menurut pegawai.
-- BERNAMA-YONHAP