SYDNEY: Ahli sains di Australia secara rasmi mengenal pasti spesies baharu cicak yang terancam kritikal, yang hanya ditemukan di Taman Negara Mutawintji di negeri New South Wales, lapor Xinhua.
Dikenali oleh pemilik Orang Asli Wiimpatja sebagai Kungaka – yang bermaksud "si tersembunyi" – cicak itu telah diperincikan secara saintifik sebagai spesies baharu, Liopholis mutawintji, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Muzium Australia pada Selasa.
Dengan kurang daripada 20 ekor yang diketahui wujud, cicak ini kini merupakan antara reptilia yang paling terancam di Australia.
Spesies itu sebelum ini dianggap sebagai populasi terpencil daripada kumpulan Skink White (Liopholis whitii) yang tersebar luas.
Analisis genetik dan pemeriksaan terhadap variasi merentasi taburannya yang luas kini mengesahkan bahawa ia adalah satu daripada tiga spesies yang berbeza dan satu-satunya yang terhad di kawasan Mutawintji.
Menurut kenyataan itu, spesies ini berada kira-kira 500 km dari saudara terdekatnya, dan mampu bertahan di kawasan habitat berbatu yang lembap dan kecil, dikelilingi oleh dataran pokok renek garam (saltbush) dan dataran gibber yang panas.
Penerangan saintifik mengenai Kungaka hanyalah langkah pertama, kata penyelidik Muzium Australia, Tom Parkin, yang juga pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Zootaxa.
"Kungaka mewakili keturunan purba yang berkemungkinan berasal lebih awal, ketika persekitaran pada masa itu amat berbeza. Hari ini, ia bertahan di kawasan gaung terlindung yang kecil dan terpencil di Mutawintji. Melalui penyelidikan ini, kami bukan sahaja lebih memahami sesuatu spesies, tetapi juga sejarah di sebalik persekitaran sekitarnya," kata Parkin.
Ahli sains memberi amaran bahawa kambing liar telah dikenal pasti sebagai ancaman utama kepada kelangsungan hidup mengkarung berkenaan kerana haiwan itu merosakkan habitat tempatan melalui ragutan berlebihan dan pijakan.
Keadaan ini mengurangkan ketersediaan makanan serta tempat perlindungan, selain mendedahkan cicak berkenaan kepada pemangsa dan suhu ekstrem.
-- BERNAMA-XINHUA