KAJANG: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover Velar disyaki mabuk melanggar van dinaiki enam individu dalam kejadian di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, kenderaan SUV dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang van jenis Mazda E1800 Wagon.
"Akibat pelanggaran tersebut, van terbabit terbalik di bahu kiri jalan, pemandu bersama lima penumpang berusia antara tujuh hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kajang serta Hospital Serdang.
"Manakala, pemandu Range Rover tidak mengalami sebarang kecederaan, lelaki itu direman dua hari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nurul Shaffika Mohd Shair di talian 013-2091766 bagi membantu siasatan.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," ujarnya. -Sinar Harian