KLANG: Seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, di sini, bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara itu dalam satu pesanan ringkas kepada media malam tadi.
Menurut beliau, suspek akan dibawa ke mahkamah pada jam 8.30 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkaitan insiden berkenaan.
Suspek sebelum ini dilaporkan positif alkohol dan dadah, dan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda maksimum RM100,000, serta hilang kelayakan memandu sekurang‑kurangnya 10 tahun.
Dalam kejadian sekitar jam 11.40 pagi Ahad lalu, mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33 tahun, maut di lokasi selepas motosikalnya dirempuh kereta dipandu suspek yang dipercayai memandu laju di lorong bertentangan menuju ke pusat bandar Klang.
Suspek difahamkan memotong beberapa kenderaan sebelum merempuh motosikal mangsa, menyebabkan Amirul Hafiz tercampak dan melambung ke atas sebuah Perodua Myvi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Difahamkan, Amirul Hafiz bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan melakukan kerja sambilan sebagai penghantar barang pada waktu malam bagi menambah pendapatan keluarga.
Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2.