SHAH ALAM: Pengawasan Jawatankuasa Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya (PR) perlu untuk memperkukuh prinsip semak dan imbang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selain tidak melanggar doktrin pemisahan kuasa.
Konvener Projek SAMA, Ngeow Chow Ying serta Pakar Parlimen dan Advokasi Polisi, Maha Balakrishnan berkata, mekanisme semak dan imbang amat penting dalam pelantikan Pendakwa Raya memandangkan peranan itu memegang kuasa besar termasuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan pendakwaan jenayah.
Menurut mereka, Rang Undang-Undang (RUU) semasa mencadangkan untuk memberikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kuasa budi bicara bagi pelantikan PR atas syor daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Adalah wajar untuk diperhatikan bahawa SPKP adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam.
"Walaupun kami menyambut baik prinsip pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, cadangan kerangka pelantikan berisiko meletakkan keseluruhan proses di luar kuasa pengawasan Parlimen atau awam yang bermakna," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan itu turut mendapat sokongan pelbagai tokoh perundangan dan akademik termasuk mantan Hakim Mahkamah Rayuan dan mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof; mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan mantan Pemegang Kerusi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Kenyataan itu turut berpandangan bahawa pindaan perlembagaan untuk memasukkan pengawasan Parlimen dalam pelantikan PR adalah sepenuhnya diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, beberapa peruntukan menyokong keperluan pengawasan Parlimen seperti Perkara 39 yang mengekalkan kuasa Parlimen untuk memberikan fungsi eksekutif kepada pihak lain melalui undang-undang.
Dalam masa sama, hujah yang menolak penglibatan Parlimen dengan merujuk kes Semenyih Jaya disifatkan tersasar.
Tambah kenyataan itu, Malaysia yang mengamalkan sistem Parlimen Westminster menuntut wujudnya mekanisme semak dan imbang yang berkesan, khususnya dalam memastikan akauntabiliti terhadap kuasa eksekutif.
Menurutnya, cadangan RUU berkenaan tidak mengalihkan kuasa pelantikan PR keluar daripada eksekutif, sebaliknya hanya memindahkan kuasa daripada Perdana Menteri kepada YDPA dan SPKP.
"Oleh itu, pengawasan Parlimen ke atas pelantikan Pendakwa Raya bukanlah sebuah penyimpangan daripada model perlembagaan kita bahkan suatu keperluan penting untuk mengekalkan semak dan imbang dalam pelaksanaan kuasa baharu ini.
"Tanpa mekanisme semak dan imbang, cadangan kerajaan berisiko meletakkan pelantikan Pendakwa Raya di luar pengawasan Parlimen dan kehakiman, keadaan yang mana mungkin bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan," ujarnya lagi.
Justeru, mereka menyeru ahli Parlimen rentas parti untuk menolak sebarang hujahan bahawa pengawasan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya adalah tidak berperlembagaan.
"Selain itu, kami menyeru ahli Parlimen meminda RUU untuk memasukkan mekanisme pengawasan Parlimen yang berstruktur sebagai sebahagian daripada proses lantikan untuk Pendakwa Raya," ujarnya. - Sinar Harian