WHATSAPP ketika ini menawarkan ciri dinamakan WhatsApp Status, yang membolehkan pengguna berkongsi gambar atau video yang hilang selepas tempoh 24 jam – iaitu ciri variasi Stories seperti yang terdapat di Instagram, Facebook dan lain-lain perkhidmatan.
Selepas sekian lama disertakan pada bahagian “Kemas kini” sebelum ini, kini WhatsApp menguji paparan Status terus pada halaman utama aplikasi permesejan berkenaan.
Melalui ujian yang hadir, ia dilihat dipaparkan dalam bentuk ikon kecil pada bahagian atas, dan pengguna boleh tarik ke bawah atau tap padanya dalam menjadikannya bersaiz besar.
Paparan pada halaman utama juga memastikan rakan-rakan tidak tertinggal dalam menonton WhatsApp Status, sekali gus memastikan kadar capaian yang lebih meluas lagi.
Malah, WhatsApp sebelum ini telah membincangkan penawaran paparan iklan pada bahagian WhatsApp Status, dan untuk tujuan berkenaan, capaian yang meluas adalah diperlukan.
Buat masa ini, WhatsApp telah menguji paparan ini pada WhatsApp Beta. Tidak diketahui lagi sama ada ia akan diperkenalkan secara meluas atau sebaliknya.