Skip to main content

Malaysia

Pegawai polis direman, disyaki minta rasuah daripada tahanan

61752140233_TBpolisrasuah.jpg
SUNGAI PETANI: Seorang pegawai polis yang bertugas di sebuah balai di Kedah ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan sebagai balasan melepaskannya daripada jaminan polis.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah reman selama tiga hari dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada pagi Khamis.

Suspek berusia 30-an ditahan kira-kira jam 11 pagi Rabu di balai suspek bekerja.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan Jun lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek telah meminta rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan bagi membolehkannya dilepaskan daripada jaminan polis sedangkan tiada bayaran perlu dijelaskan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.




Must Watch Video