BUKIT MERTAJAM: Pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan berunsur hasutan perkauman dalam media sosial yang mengandungi dakwaan tidak benar mengenai Hospital Bukit Mertajam.
Lim Zheng Han berkata laporan itu dibuat susulan satu hantaran Facebook oleh seorang individu pada 22 Mac lepas yang didakwa memutarbelitkan fakta berhubung lawatan Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke hospital berkenaan.
Beliau berkata lawatan itu bertujuan meninjau kemudahan asas serta menilai keperluan menaik taraf hospital, namun hantaran berkenaan disertakan dengan tajuk tidak berasas yang mendakwa kononnya “Hospital Bukit Mertajam akan dipindahkan agar tidak mengganggu kuil - Steven Sim Chee Keong”.
“Fitnah seperti ini bukan sahaja mencemarkan imej Sim, malah boleh menimbulkan ketegangan dan menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Lim berkata laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, dan pihaknya memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap pemilik akaun terbabit.
Semalam, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Bukit Mertajam menafikan dakwaan kononnya hospital berkenaan akan dipindahkan supaya tidak mengganggu kuil di kawasan itu, dan menyifatkan ia berunsur fitnah serta berniat jahat.
Terdahulu, tular hantaran menerusi Facebook kononnya Hospital Bukit Mertajam akan dipindahkan agar tidak mengganggu kuil, yang menggunakan nama dan gambar lawatan Sim ke hospital berkenaan.
-- BERNAMA