ORLANDO: Sebuah tarikan pelancongan baharu, Sloth World, yang dirancang dibuka di International Drive, di sini, ditutup selepas siasatan mendapati 31 ekor sloth mati akibat pengabaian serta keadaan tempat perlindungan yang tidak sesuai.
Laporan Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Ikan Florida (FWC) Amerika Syarikat (AS) mendedahkan haiwan berkenaan, yang diimport dari Guyana dan Peru, ditempatkan di sebuah gudang tanpa bekalan air dan elektrik yang stabil, selain tidak direka untuk menempatkan hidupan liar.
Menurut laporan itu, 21 sloth mati akibat kejutan sejuk selepas sistem pemanas gagal berfungsi ketika cuaca sejuk melampau pada Disember 2024, manakala 10 ekor lagi yang tiba dari Peru pada Februari 2025 ditemui dalam keadaan sangat lemah dan kurus, sebelum semuanya mati tidak lama kemudian.
Pemilik Sloth World, Ben Agresta, menafikan dapatan tersebut dan mendakwa kematian haiwan itu berpunca daripada virus yang sukar dikesan, selain mengesahkan rancangan untuk memfailkan perlindungan kebankrapan dan membatalkan pembukaan tarikan berkenaan.
Sementara itu, 13 sloth yang terselamat telah dipindahkan ke Central Florida Zoo & Botanical Gardens bagi menjalani penilaian kesihatan serta kuarantin selama 30 hari.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan aktivis hak asasi haiwan, selain mendorong Ahli Kongres, Maxwell Frost, menggesa siasatan persekutuan dijalankan terhadap pengurusan serta kawal selia fasiliti berkenaan.