MEKAH: Seramai 16 jemaah haji Malaysia telah dirujuk ke hospital di Mekah dan Madinah setakat ini, namun semua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil, dalam suasana operasi haji yang terus berjalan lancar memasuki minggu ketiga pelaksanaan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata secara keseluruhannya keadaan kesihatan jemaah adalah baik dan mereka semakin menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Tanah Suci yang kini mencecah melebihi 40 darjah Celsius.
“Setakat ini, lebih 16 jemaah telah dirujuk ke hospital, kebanyakannya melibatkan kes kardiovaskular, pernafasan, saraf dan otot.
“Pegawai perubatan Tabung Haji sentiasa memantau rapi keadaan jemaah yang dirujuk dan Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat dengan hospital tempatan Arab Saudi turut membantu memastikan rawatan kepada jemaah yang terlibat dapat dilaksanakan dengan cepat, teratur dan berkesan.
Dalam pada itu, Mohd Hisham memaklumkan bahawa Operasi Haji Malaysia bagi musim ini berjalan lancar dengan perancangan rapi di semua peringkat, merangkumi pengurusan ketibaan jemaah, penyediaan penginapan, perkhidmatan kesihatan serta persiapan menuju kemuncak ibadah haji di Masyair.
Menurutnya, setakat ini hampir 48 peratus daripada keseluruhan penerbangan membawa jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci mengikut jadual yang ditetapkan.
“Semalam, penerbangan pertama yang membawa seramai 276 jemaah ke Jeddah telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada jam 4.47 pagi, sekali gus menandakan bermulanya fasa ketibaan terus ke Mekah,” katanya.
Beliau berkata, sehingga jam 10.00 pagi, 4 Mei 2026, seramai 15,175 jemaah haji Malaysia telah berada di Tanah Suci.
“Daripada jumlah itu, 9,878 jemaah berada di Mekah, manakala 5,297 jemaah lagi berada di Madinah dan dijadualkan menyusul ke Mekah secara berperingkat,” katanya.
Mohd Hisham turut memaklumkan bahawa pengurusan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, selaras dengan perancangan penerbangan yang telah diselaraskan lebih awal.
Beliau menegaskan, kesiapsiagaan petugas Tabung Haji di lapangan terus dipertingkatkan bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan jemaah sentiasa terpelihara sepanjang tempoh ibadah.
“Insya-Allah, segala persediaan menuju kemuncak haji akan terus dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah dengan tertib, selamat dan lancar,” katanya.