Skip to main content

Malaysia

Op E‑Cig Mega: Polis rampas rokok elektronik bernilai RM8.87 juta

Kuala Lumpur , 16 February 2026. Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Fisol Salleh pada sidang media berikutan Operasi Bersepadu E-Cig Mega di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pemangku Pengarah JKDNKA Bukit Aman Datuk Fisol Salleh pada sidang media berikutan Operasi Bersepadu E-Cig Mega di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis peranti, cecair dan aksesori rokok elektronik bernilai RM8.87 juta menerusi Op E‑Cig Mega yang dijalankan di seluruh negara pada 10 Februari lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh berkata operasi bersepadu itu melibatkan pemeriksaan ke atas 154 premis, dengan 141 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata daripada keseluruhan 141 premis yang disasarkan, sebanyak 199 kes berjaya dikesan membabitkan perniagaan rokok elektronik (e‑cigarette/vape).

“Nilai keseluruhan rampasan Op E‑Cig Mega adalah RM8.876 juta, meliputi rampasan cecair rokok elektronik bernilai RM4.692 juta membabitkan 958,852 liter dan peranti e‑cigarette bernilai RM4.116 juta melibatkan 83,289 unit. Lain‑lain rampasan termasuk aksesori, bateri, perkakas jualan dan rokok haram bernilai RM67,596,” katanya.

Fisol berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin.

Menurut Fisol lagi, nilai keberhasilan keseluruhan operasi adalah RM330,200, merangkumi 195 saman yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan nilai kompaun berjumlah RM156,200 serta nilai cukai RM174,000.

Seramai 181 individu diperiksa sepanjang operasi itu dan polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Op E‑Cig Mega dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama agensi‑agensi penguatkuasaan termasuk KKM, pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri serta agensi berkaitan lain.

“Operasi ini bertujuan menangani isu penjualan dan penggunaan rokok elektronik secara lebih menyeluruh, terselaras dan berkesan,” katanya.

Must Watch Video