Skip to main content

Malaysia

Kerajaan perkenal Dasar Peluang Kedua Fast Track, percepat mekanisme pelepasan bankrap

PUTRAJAYA, 16 Feb -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia Datuk Ishak Bakri (kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Azman Hasim (kiri) pada Majlis Peluncuran Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua - Fast Track 2026 di sini hari ini.  --fotoBERNAMA
Azalina menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman pada Majlis Peluncuran Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua - Fast Track 2026 di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Dasar Peluang Kedua Fast Track bertujuan memberikan laluan ekspres dan mempercepat mekanisme pelepasan bagi empat golongan kumpulan sasar bankrap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dasar itu diperkenalkan bagi membantu kumpulan sasar bangkit semula membina kehidupan dan terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Empat kumpulan sasar yang diterima dalam Dasar Peluang Kedua Fast Track itu ialah ibu atau bapa tunggal, usahawan pinjaman mikro, mangsa penipuan kewangan (scammer), dan peminjam perumahan bagi projek perumahan terbengkalai.

"Maka, ibu atau bapa tunggal dapat kembali bekerja, usahawan boleh berniaga semula dan mangsa scam mampu menarik nafas lega.

"Fast Track ini bukan sekadar penjenamaan baharu, tetapi komitmen MADANI untuk mempercepat keadilan melalui dasar yang empati bagi menyelamatkan mereka daripada kitaran hutang tiada kesudahan supaya mereka bangkit semula dengan bermaruah," katanya pada Majlis Peluncuran Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl), di sini hari ini.

Azalina berkata Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track lahir daripada satu prinsip yang jelas dalam Kerangka Malaysia MADANI, iaitu rukun Ihsan.

"Ini cerminan pendekatan Kerajaan MADANI yang tidak bersifat menghukum selamanya. MADANI memberikan ruang untuk rakyat bangkit dan percaya bahawa setiap rakyat berhak diberi peluang kedua.

"Kerajaan MADANI berpendirian bahawa kegagalan kewangan bukanlah noktah atau pengakhiran kepada sebuah kehidupan. Ia boleh menjadi titik kebangkitan jika sistem kita adil, efisien dan paling penting, berperikemanusiaan," katanya.

Azalina dalam pada itu, berkata MdI berjaya menyelesaikan 176,851 kes pelepasan bankrap bagi 2024 dan 204,487 kes pelepasan untuk tahun lepas.

"Ini bukan angka semata-mata, tetapi lebih 381,000 kehidupan yang mendapat nafas baharu," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video